Klirieing
Klirieng, merupakan satu perkataan yang agak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi penduduk yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, sebenarnya Klirieng ini sering di pamerkan di muzium – muzium dimana kebanyakan orang menyangkakan ianya satu perhiasan yang berasal dari Sarawak.
Klirieng, sebenarnya merupakan satu ukiran yang dibuat diatas sebatang kayu bagi tujuan pengebumian. Amalan ini asalnya diamalkan oleh suku kaum Kajang yang tinggal di Belaga, daerah Kapit, Sarawak. Selalunya ia dibuat oleh orang-orang yang berkemampuan. Ini adalah kerana bagi ahli keluarga si mati yang ingin menempah Klirieng perlu memberi makanan kepada pembuatnya sepanjang tempoh kerja-kerja ukiran Klirieng. Ukiran ini juga dilakukan secara bergotong- royong bagi sesebuah rumah panjang. Lazimnya ukiran ini mengambil masa di antara satu hingga tiga bulan untuk menyiapkannya bergantung kepada saiz batang kayu yang di ukir. Apabila batang Klirieng ini siap diukir ianya akan didirikan secara menegak dan tulang-tulang si mati akan disimpan di dalam tajau (tempayan) dan diletakkan diatasnya.
Namun begitu, amalan Klirieng sebagai satu tempat pengebumian ini sudah tidak diamalkan hampir seabad yang lalu kerana kebanyakan suku kaum Kajang ini sudah menganuti agama-agama yang lain. Kini, ianya dibuat sebagai satu mercu dan perhiasan namun begitu bagi suku kaum Kajang terutama suku kaum Kajang Kejaman masih mempercayai untuk menghasilkan Klirieng ini walaupun sebagai satu perhiasan, adat dan ritual perlu diadakan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak baik. Mereka juga percaya, Klirieng hanya boleh dilakukan oleh dewasa atau orang-orang yang sudah berkahwin.
Untuk menghasilkan Klirieng yang baik, batang kayu yang digunakan adalah dari jenis berlian. Ini adalah kerana kayu dari jenis ini mudah diukir dan ianya mampu bertahan beratus tahun lamanya. Motif ukirannya selalu menggunakan 2 elemen, iaitu corak paku pakis yang dikatakan sinonim dengan alam dan juga berbentuk kelaman (topeng yang bertaring) yang dikatakan berkatian dengan alam roh.
Melihat dari konteks seni tampak, Balai Seni Visual Negara, merasa terpanggil untuk mengenengahkan ukiran ini agar ianya tidak ditelan zaman. MelaluiPROGRAM Artis Tamu: Kesinambungan Hayat, Balai Seni Visual Negara telah menjemput pakar ukiran Klirieng yang berasal dari suku kaum Kajang Kejaman, Bapak Jilan Asoh untuk mengukir Klirieng ini secara langsung di hadapan bangunan Balai Seni Visual Negara. Melalui program ini juga Balai Seni Visual Negara menjemput 2 orang pelukis muda untuk mendalami ilmu ukiran ini selama sebulan bermula 7 April yang lalu dan akan berakhir pada 6 Mei 2008. Demonstrasi dan bengkel ukiran ini adalah pertama kali yang di adakan di Kuala Lumpur.
Program ini merupakan sebahagian dari program Pameran Susurmasa sempena sambutan ulang tahun ke 50 Balai Seni Visual Negara. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan Pameran, demonstrasi dan bengkel ini dan masuk adalah percuma.
No comments:
Post a Comment