Tuesday, 15 March 2016

THAVANESH

Wednesday, 8 July 2015
     Dalam meniti arus kemodenan, teknologi maklumat dan komunikasi amat mustahak dalam kalangan masyarakat kini. Terdapat banyak kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, daripada telefon yang besar kepada telefon bimbit yang amat nipis dan banyak kegunaan , daripada mencari maklumat di perpustakaan kepada mendapatkan maklumat daripada Internet. Maklumat kini semuanya berada di hujung jari sahaja . Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.

     Salah satu daripadanya ialah kecanggihan teknologi maklumat pada marcapada ini mampu mempercepat kerja kita.Hal ini terbukti apabila majoriti populasi masyarakat di Malaysia kini mencari bahan atau sumber maklumat mereka hanya daripada Internet.Mereka tidak mencari bahan yang mereka perlukan di perpustakaan kerana di situ mereka perlu bersusah payah mencari buku-buku yang mengandungi maklumat yang mereka inginkan di atas rak yang disusuni dengan ribuan buku. Masalah ini akan banyak memakan masa mereka. Sebaliknya, masyarakat modenisasi kini hanya duduk di rumah, di hadapan komputer mereka dan menekan satu klik sahaja demi mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh mereka. Kecanggihan teknologi maklumat ini jelas sekali dapat menjimatkan masa di samping dapat mempercepat sesuatu kerja yang dilakukan oleh mereka.

     Kemaslahatan seterusnya, teknologi maklumat dan komunikasi pada alaf ini dapat membuatkan kita berhubung dan berkomunikasi dengan orang yang berada jauh daripada kita. Misalnya, seorang anak yang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti yang jauh daripada tempat tinggal mereka boleh melepaskan kerinduan terhadap ibu bapa mereka dengan hanya menelefon mereka. Bagi mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara pula, mungkin caj panggilan telefon amat mahal tetapi mereka boleh mengatasi masalah itu. Caranya adalah dengan menggunakan kemudahan laman sosial yang semakin banyak muncul belakangan ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Laman sosial dapat membuatkan mereka berinteraksi dengan kadar yang rendah. Jika rindu untuk berbual-bual sambil menatap muka mereka, pelajar itu sendiri boleh menggunakan aplikasi panggilan video. Aplikasi ini boleh didapati dalam laman sosial seperti ‘Skype’. Dengan adanya kemudahan ini, hubungan kekeluargaan tidak akan putus walaupun tinggal berjauhan.

     Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia. Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara menjawab soalan peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh guru-guru  cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik lantas membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerelang.


     Konklusinya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan yang amat mustahak kepada manusia pada hari ini. Teknologi ini akan terus ditambahbaikkan dari semasa ke semasa supaya kerja harian manusia akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, kita tidak boleh ketinggalan dalam kemajuan teknologi maklumat. Kita hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar negara dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain.

No comments:

Post a Comment